Friday, February 28, 2014

Review Maybelline Lip Polish by Color Sensational

Assalamualaikum semua

Review Maybelline Lip Polish by Color Sensational  | Lama pulak tak buat beauty review kan? Heheheh. Ok, straight to the point. Ingat lagi tak korang lebih kurang 2 minggu lepas aku pergi launch Maybelline Lip Polish? Kalau tak ingat atau belum baca lagi, korang boleh KLIK LINK SINI


Semasa majlis, semua peserta di berikan 3 shades Maybelline Lip Polish dalam goodie bag masing-masing. Disebabkan warna kegemaran aku takde, makanya aku terus ke Watson dan beli lagi tiga batang. Boleh hadiahkan kat adik dengan akak aku sekali. Kat atas tu adalah 6 jenis colour yang aku ada. 

1. POP 6 : merah mak ngah gitu
2. GLAM 3 : coral pink & nampak natural
3. GLAM 2 : sweet pink 
4. GLAM 3 : aku beli dua sebab satu bagi akak aku...
5. POP 5 : mula-mula nampak macam ala-ala Nicki Minaj kan? Tunggu result dia...
6. GLAM 6 : dark purple 


Sebagaimana aku pernah bagitau dekat entry yang pertama, aku suka pada bentuk dia. Tricky dan mudah di bawa kemana je. Kecil dan comel. Senang nak bubuh dalam handbag. Walaupun ia liquid tapi dengan botol yang kedap sebegitu, tak mudah untuk tumpah seperti kebanyakan lip gloss lain. 



Bahagian Applicator nya paling aku suka. Dengan teknologi dan memberi kemudahan untuk pemakaian yang sempurna, Maybelline menggunakan applicator berbentuk daun. Bahagian depannya leper & runcing di hujung supaya dapat mencapai sehingga hujung bibir dengan mudah. Berus yang digunakan jugak lembut dan mudah di gunakan pada bibir. 

Gunakan GLAM 3 : Natural & Coral Pink Colour
Maybelline Lip Polish adalah 3in1. Bertindak sebagai lip gloss, lip stick & lip balm, untuk aku ia agak melekit tetapi cepat kering. Dengan hanya 1 sapuan dah memadai untuk cover seluruh bibir. Sekali pakai je, bibir nampak lebih berkilat dan dapat cover garis halus pada bibir. Dari aspek ketahanan pulak, Maybelline Lip Polish mampu bertahan sehingga 5-6 jam. Tapi bila makan atau minum, confirm lah melekat pada straw atau sudu


Walaupun nampak warna Maybelline Lip Polish seperti terlalu pekat & berat, tapi sebenarnya bila di guna ia memberikan hasil yang sempurna dan tidak terlalu menonjol. Sebagai contoh kau tengok aku gunakan GLAM 6 (Purple). Bila di apply pada bibir, aku rasa ia agak sesuai jugak digunakan untuk tona warna kulit orang Malaysia. Malahan, pada aku lah mesti colour tu cantik jika dipakai untuk dinner atau pada waktu malam. Sebab nampak lebih eksklusif dan shinning dia tu memukau! 


Kalau korang tanya aku mana colour yang cantik, aku suka GLAM 3 untuk natural look dan penggunaan di siang hari. Manakala kalau nak nampak yakin dan confident lebih kepada POP 6 sebab merah mak ngah dia tu memang nampak kan bibir lagi seksi dan mungil. Jangan risau, kalau tak sure korang boleh tengok carta kat bawah & sesuaikan ikut tona warna kulit korang. Aku confident je tibai semua... hahahahah!


INFO PRODUK 

Nama : Lip Polish by Color Sensational (3in1 - gloss,color & balm)
Brand : Maybelline
Berat : 5.0ml / 0.17 fl.oz
Ketahanan : 5-6 jam 
Harga : RM 32.90
Store : Mana-mana store kecantikan yang menjual produk Maybelline
           (cth : Watson & Guardian)
Rating : 4/5 Bintang



Thursday, February 27, 2014

Food Review : Savaro, Setia City Mall

Assalamualaikum semua


Food Review : Savaro, Setia City Mall | Hari ni aku nak perkenalkan satu tempat makan yang sangat best dan memang HIGHLY RECOMMENDED untuk korang. Aku berani jamin memang makanannya terbaik & sedap hingga menjilat jari. Aku yang sekali pergi je pun, sampai sekarang ni haaa terliur dan terasa lagi sedapnya tau! Perkenalkan kepada korang : SAVARO [Restaurant & Shoppe]


LATAR BELAKANG SAVARO 

Berkonsepkan English Garden, Savaro merupakan salah sebuah anak syarikat di bawah FELDA. Savaro mengambil nama bersempena gabungan Served + Aroma menjadikan makanan tempatan yang sihat dan dengan sentuhan antarabangsa sebagai tarikan utama pelanggan ke kedai mereka. Selain daripada mempromosikan makanan tempatan, Savaro juga menjadi pusat sehenti untuk menjual produk keluaran FELDA.

Buat masa ni, dua buah cawangan telah dibuka di sekitar Lembah Klang & Shah Alam iaitu di Setia City Mall, Setia Alam dan di Publika. Coming soon, lebih 10 buah cawangan bakal dibuka malahan terkini di Puteri Harbour, Danga Bay, Johor Bharu. Pada awal Mac yang akan datang, sebuah cawangan Savaro bakal dibuka di Korea. Hebat kan?





Sewaktu aku melangkah masuk ke Savaro, Setia City Mall ni aku memang suka pada konsepnya. Walaupun agak minimalis tapi cosy, selesa dan ada sentuhan vintage. Gabungan warna-warna ala Inggeris seperti warna putih & coklat gelap kayu buatkan restoren ni nampak sedikit klasik. Lagi-lagi dengan tambahan side bar yang cukup menarik. Konsep open kitchen jugak pada aku sesuatu yang unik. Memang nampak tema ala Inggerisnya tu! 

Kata orang, kalau dah nama food review...mestilah sah-sah kena cuba makanan mereka. Baru tahu sejauh mana hebat tak hebatnya restoren tu kan? Jadi, jom aku bawak korang tengok hidangan lazat yang disediakan di Savaro. 

MINUMAN
Harga Minuman :  RM 9.80/gelas
Fresh juice yang dihidangkan Savaro semuanya memang unik dan memukau pandangan. Sekali tengok semua menarik kan. Mana tidaknya, fresh juice yang dihidangkan adalah campuran buahan-buahan dan sayuran yang segar dan berkhasiat : 

1. SAVARO SODA LIME - Strawberry + Soda lime + Pudina
2. SAVARO GREEN JUICE - Jambu batu + Soda lime
3. WATERMELON CRUSH -  Tembikai + Carrot + Lime 
4. SKY GREEN - Celery + Timun +  Soda lime

PEMBUKA SELERA
Savaro Salad : RM 4.80
Prawn Mango Salad : RM 8.80
Pembuka selera di Savaro menghidangkan sesuatu yang agak berbeza. Macam aku bagitau tadi, ia adalah makanan tempatan yang diubah suai sedikit dengan citarasa antarabangsa dan fusion. Dua salad yang disediakan adalah Savaro Salad & Prawn Mango Salad. Antara dua ni, untuk aku lebih menggemari Prawn Mango Salad. Rasanya masam + manis dan juicy sebab udang yang digunakan gebu semacam dan di grill sahaja. Saladnya jugak memang fresh. Kalau yang allergic dengan seafood, Savaro Salad jugak tak kurang hebatnya. Siap ada keropok ubi pedas dan sedikit sambal belacan. Masam manis dan segar! Cukup untuk bukak selera bagi hidangan seterusnya!

SOUP OF THE DAY
Cream Corn of Chicken Soup : RM 4.80

Garlic Bread
Masa aku datang tu, soup of the day adalah Cream Corn of Chicken Soup. Fuh... yang ini pun memang terbaik lah. Supnya pekat dan lazat. Tak sangka, gabungan jagung, crouton dan ayam menjadi. Tak pernah lagi aku makan sup dengan gabungan macam ni. Lagi sedap, cicah dengan garlic bread! 

Oxtail Soup : RM 7.80
Walaupun ini bukan soup-of-the-day, tapi aku kategorikan dia under sup lah ye. Ox Tail Soup atau Sup Ekor Lembu. Kalau korang nak tahu, aku bukanlah peminat Sup Lembu. Tapi di Savaro ni, Ox Tail Soup nya sangatlah berbeza. Bukan macam sup biasa yang banyak minyak tu. Dia lebih kepada rasa stew. Lemak, manis dan of course lah lazat. Dagingnya lembut dan tak terasa atau bau lembu pun. 

HIDANGAN UTAMA

Nasi Lemak Pandan : RM 8.80
NASI LEMAK PANDAN

Walaupun mungkin nampak biasa, tapi ada kelebihannya. Tang nasi tu. Perasan tak nasi nya bewarna hijau? Kelebihannya, mereka tidak menggunakan apa-apa bahan pewarna. Untuk dapatkan warna hijau pada nasi tu, sepenuhnya mereka gunakan daun pandan. Rasanya lemak & wangi. Sambal tumisnya tidak lah terlalu pedas tapi cukup 'kick' bila dimakan bersama dengan nasi. 

Savaro Noodles : RM 12.80
 SAVARO NOODLES

Ini hidangan unik! Kalau korang nak tahu, Savaro Noodles menggabungkan dua jenis hidangan mee yang cukup popular di Johor iaitu Mee Bandung & Mee Jawa. Korang memang boleh rasa gabungan dua kuah yang sama sedap. Malahan hidangan Savaro Noodles ni menjadi permintaan tinggi di kalangan pelanggan kerana kuahnya yang sangat lah persis Mee Bandung Muar yang terkenal tu. Dengan gabungan isi ayam & daging, lagi lah tambah enak di makan panas-panas!


Curry Noodles : RM 9.80
CURRY NOODLES

Rasa kari pekat, lemak dan cukup segala rempah nya buatkan mee kari ini tidak kurang hebatnya. Walaupun mungkin agak simple jika dibandingkan dengan Savaro Noodles, tapi untuk peminat mee kari tak salah rasanya untuk mencuba sendiri hidangan ini. Lengkap dengan tauhu, fish ball, udang dan ayam. 


Nasi Goreng Belacan : RM 8.80
NASI GORENG BELACAN 

Walaupun dengar ada belacan di situ, tapi jangan risau. Kata makanan Melayu. Tak sah lah kan kalau takde belacan. Nasi Goreng Belacan diinspirasikan daripada makanan Terengganu. Dengan gabungan ayam goreng yang dibalut dalam pandan, keropok serta sambal belacan resipi rahsia Savaro, Nasi Goreng Belacan cukup digemari. Agak sedikit masin untuk aku, tapi bila dah campur semua memang kena dengan tekak orang Malaysia!


Nasi Goreng Selasih : RM 12.80
NASI GORENG SELASIH 

Nampak lebih kurang sama dengan Nasi Goreng Belacan, tapi yang bezanya adalah kehadiran kerabu mangga kat situ. Fuhyoh! Memang mengancam dan kena betul lah. Masam manis dan lemak masin. Sedap! Ayam goreng pandan, keropok dan sambal resipi rahsia Savaro turut di hidang sama. Terbaik lah!!!

PENCUCI MULUT 

Sagu Gula Melaka : RM 6.80

SAGU GULA MELAKA

Selain daripada mak aku yang buat, Savaro punya Sagu Gula Melaka memang aku bagi full rating. Ya Allah, dia punya kesedapan tu memang semua cukup. Tak perlukan gula melaka yang banyak, cukup sekadar dilimpahkan atas sagu tu sendiri dan hasilnya memang perfect. Rasa yang lazat, lemak, manis dan boleh aku katakan ia memang menepati rasa dessert Melayu yang sebenar! 




 Pengat Pisang : RM 6.80

 PENGAT PISANG

Alahai kalau kat KL ni, punyalah payah nak dapat Pengat Pisang. Di Savaro, sama macam Sagu Gula Melaka tadi, dessert ala Melayu ni memang aku puji 100%. Rugi sangat kalau korang tak cuba. Penggunaan pisang & sagu nya memang ngam-ngam. Sedap lain macam. Kuah dia tu... kau jangan sebut lah. Aku sampai sekarang ni taip entry pun tertelan-telan air liur mengingat rasa dia yang super sedap tu. Memang rasa pengat yang macam kat kampung lah! Terbaik ganda dua aku bagi!


Roti Jala with Chicken Curry @ Beef Rendang : RM 6.80

ROTI JALA  with CHICKEN CURRY @ BEEF RENDANG 

Ini jugak aku tahu menjadi kegemaran ramai orang. Aku sarankan kalau korang cuba roti jalan di Savaro, korang try dengan rendang daging dia. Kau tahu rasa dia, sama macam rendang waktu raya woi! Sedap dia memang kemain lah... Makan pulak dengan roti jala yang gebu tu. Panas-panas... cukup untuk menggembirakan perut korang! Serius ni beb... memang lazat dan sedap yang teramat. 


PRODUK FELDA

Kacang Dal : produk keluaran FELDA

Produk FELDA yang pelbagai
Macam aku bagitau atas tadi, selain menyediakan hidangan makanan, Savaro jugak bertindak sebagai salah satu pusat sehenti untuk mengedarkan produk FELDA. Jadi, di Savaro ada banyak produk FELDA yang boleh korang beli. Antaranya adalah kerepek ubi, kerepek pisang, kuih siput, rempeyek, kacang dal dan banyak lagi. Packaging nya cukup menarik & international kan. Memang tak de di pasaran sebab kebanyakannya dipasarkan di luar negara. Jadi kalau korang nak rasa produk FELDA dengan packaging cantik macam ni kena pergi ke Savaro. Harga jualan lebih kurang RM 3.00 ++ sebungkus.

OVERALL & RATING

Secara keseluruhan, aku memang suka konsep yang cuba diketengahkan Savaro ni. Dengan tema English Garden tapi membawa dan mempromosi makanan Malaysia, pada aku ia satu langkah yang cukup bijak. Lebih menarik, kesemua pelayan restoran adalah anak Melayu FELDA sendiri. Bukan warga asing! 

Selain rasa dan servis yang memang terbaik, harga makanan nya juga sesuatu yang boleh aku highlightkan. Tidak terlalu mahal dan pada aku ia cukup murah dengan potion sebegitu di bandar besar. Restauran ini memang sesuai untuk menjamu selera bersama keluarga mahupun kawan-kawan. 

Nama Restoran : Savaro (Anak Syarikat FELDA)
Lokasi : LG 75, Setia City Mall, No. 7 
            Persiaran Dagang, Bandar Setia Alam, Selangor
Tema : English Garden
Tema Hidangan : Malaysian & Local Cuisine

Kelazatan : 4.9/5 Bintang
Kebersihan : 5/5 Bintang
Servis : 4.8/5 Bintang
Harga : 4.8/5 Bintang
Keselesaan : 4.6/5 Bintang


Selain di Setia City Mall, Setia Alam sebuah lagi cawangan Savaro adalah di Publika, Solaris Dutamas. Kat sana pun ada satu lagi keunikan dan promosi terbaik mereka. Kalau korang nak tahu, kena tunggu next entry aku. Insya Allah dalam Isnin depan aku publish entry untuk Savaro di Publika ya. Nantikan!!! Manakala orang Shah Alam, apa tunggu lagi cepat-cepat bawak family dan kawan-kawan menjamu selera di Savaro!

Untuk maklumat lanjut & update promosi, korang boleh LIKE Facebook Savaro : 

                                                




Tuesday, February 25, 2014

Review Movie : Pompeii

Assalamualaikum semua

Semalam berkesempatan tengok wayang lagi. Actually unplanned pun. Mula-mula cadang nak beli luggage je, tapi tup-tup dia kata nak tengok movie. Terus je lah on kan! Cerita yang menjadi pilihan kami adalah Pompeii. Aku baca twitter Sabrina Tajudin, dia kata dari mula sampai akhir budak Sab ni suka cerita ni. Siap bagi 5 bintang lagi. Jadi aku pun nak tengok lah, apa yang bestnya. 



SINOPSIS 

Pompeii menceritakan bagaimana puak Gladiator menentang puak aristokrat yang hanya menindas dan mempergunakan mereka untuk kepentingan diri sendiri. Puak Gladiator ini juga dijadikan hamba abdi dan boleh dibunuh sesuka hati. Namun, tidak mudah untuk menentang puak aristokrat apatah lagi jika salah seorangd daripada mereka turut mencintai dan ingin menjadikan kekasih hati si Gladiator sebagai isterinya. 

Lakonan mantap dari Kit Harrigton dan Emily Browning benar-benar terkesan dengan babak-babak romantic mereka. Namun kehadiran Senator Corvus lakonan Kiefer Sutherland betul-betul buat penonton geram! 


REVIEW 

Pada asalnya, bila aku tengok poster secara automatik aku fikir filem ni mengisahkan bencana alam - gunung berapi tu menelan dan menghancurkan Pompeii. Tapi rupanya tidak. Sama sekali ia berbeza dengan apa yang aku sangkakan. Permulaan filem dah buat aku terkejut. Filem dengan rate 18SG ni memang agak kejam. Awal-awal dah ada scene potong kepala yang mana Senator Corvus (puak aristokrat) membunuh kesemua ahli keluarga Celt/Milo (gladiator). 

Celt/Milo - nyum-nyum-nyum

Cassia - kekasih hati Celt & menjadi rebutan antara Celt & pemerintah Rom
Dari situ lah permulaan dendam Celt yang akhirnya membawa dia menjadi seorang hamba dan seorang gladiator. Kemunculan Celt di arena gladiator Pompeii memang terbaik. Fuh... badan dia.... nyum-nyum-nyum! Watak Celt tak banyak cakap. Tapi cara dia lawan memang thumbs up lah!

Celt & Atticus
Banyak scene pergaduhan antara gladiator. Masing-masing memang nampak real dan ganas lah of course. Dua-tiga kali jugak aku tutup telinga supaya elak dari menjerit. Hehehe! Babak romantis dalam cerita ni pada aku sangat minimalis. 


Tidak seperti kebiasaan filem Barat yang mana hero-heroin asyik bercium aje kan? Tidak. Filem ni memang betul-betul paparkan kehidupan Gladiator yang tak mudah patah semangat dan sanggup berkorban untuk kekasih hatinya. Konflik muncul bila kekasih hatinya (anak pemerintah Pompeii) turut menjadi rebutan dengan pemerintah Rom yang dulunya membunuh ibu bapa gladiator tadi. 


Babak-babak persahabatan juga diwujudkan. Memang best lah bila sesama Gladiator membantu satu sama lain untuk bebaskan diri dari dijadikan hamba abdi. Terutama hubungan Celt dengan Atticus. 



Dalam cerita ni, disebabkan aku suka sejarah dan memang belajar sejarah Rom secara mendalam, so memang dapat dilihat bagaimana membangunnya Tamadun Rom ketika itu. Dengan coliseum, tempat mandi awamnya, saluran air dan sebagainya memang nampak real. Pengakhiran cerita ni kembali kepada gunung berapi tu. Letusan gunung berapi tu menghancurkan keseluruhan kota Pompeii. Takde sapa yang terselamat.  Dan pengakhirannya, sangatlah romantik & sweet!


Aku sarankan sapa-sapa yang suka action + history movie boleh pergi tengok cerita ni. Memang tak akan rugi dan full of suspend. Dari mula sampai akhir tak ada babak buat kau tidur lah senang cerita. Takde babak cakap-cakap panjang-panjang pun. Semua memang terbaik. Effect dia pun hebat. Banyak kali aku rasa bangunan tu jatuh depan muka aku. Fuh memang terbaik!


INFO MOVIE 

Tajuk : Pompeii (18SG)
Pelakon : Kit Harrington (yang nyum-nyum tu! hehehe...cuba google), Emily Browning, Kiefer Sutherland, Jarred Harris, Jessica Lucas
Durasi : 1 jam 45 minit 
Genre : Action & History
Rate : 5/5 Bintang



Monday, February 24, 2014

Kembara Kemboja : Melancong & Beribadah bersama Cambodia Muslim Holiday & Travel

Assalamualaikum semua

Kembara Kemboja : Melancong & Beribadah bersama Cambodia Muslim Holiday & Travel | Siapalah yang tak suka melancong. Selain daripada dapat rehatkan minda dan pergi jauh dari segala kepenatan kerja, melancong jugak membuka minda untuk mendalami dan mengenali sesuatu budaya. Tak perlu berbelanja besar, di Asia sendiri ada banyak tempat pelancongan yang bukan calang-calang keunikannya. Salah satu yang menarik minat aku adalah Kemboja.


LATAR BELAKANG KEMBOJA



Kata orang tak kenal, maka tak cinta. Sebelum aku bawak korang mengembara dan mengenali Negara Kemboja, apa kata kita sorot serba sedikit sejarah & geografinya dulu. Negara Kemboja terletak bersempadankan Thailand dan Laos. Ibu negara bagi Kemboja adalah Phnom Penh manakala agama yang dianuti adalah Buddha (majoriti) dan seterusnya agama Islam (Cham) dan animisme bagi sesetengah penduduk pribumi. Kemboja sangat unik dengan kepelbagaian budaya dan tempat bersejarahnya yang mana sehingga kini masih kekal utuh dan menjadi tarikan utama pelancongan.

Disebabkan aku memang suka pada Sejarah & Budaya, maka Kemboja adalah antara negara yang menjadi tumpuan. Kaya dengan budaya dan pengaruh Budha Theravada, keunikan budaya masyarakat Kemboja sering menjadi perhatian pelancong seluruh dunia. Daripada beberapa rujukan dan pembacaan yang aku buat, ada pelbagai tarikan pelancongan yang mana sebahagiannya dianggap sebagai 'Warisan Dunia' terletak di Kemboja. Top 5 dari yang menjadi pilihan pelancong adalah :

1. PHNOM PENH



Merupakan ibu kota bagi Kemboja, Phnom Penh digambarkan sebagai satu bandar yang tidak pernah tidur. Sentiasa dipenuhi dengan pelbagai latar belakang manusia atas dasar pelbagai latar belakang urusan. Phnom Penh juga satu masa dulu pernah dikenali dengan gelaran "Mutiara dari Asia" kerana kota Phnom Penh merupakan kota terindah semasa penjajahan Perancis terhadap Kemboja satu masa dulu.

Di sepanjang jalan-jalan di Phnom Penh, banyak terdapat bangunan-bangunan dengan pengaruh Perancis yang boleh ditemui. Di Phnom Penh sendiri terdapat dua muzium yang menjadi tarikan utama pelacong iaitu Muzium Nasional Kemboja yang menyimpan barang-barang peninggalan sejarah Kemboja dan Muzium Tuol Slend Genocide yang mana dahulunya adalah sebuah penjara.

2. ANGKOR WAT, SIEM REAP 



Diiktiraf sebagai UNESCO World Heritage Site pada tahun 1992, Angkor Wat menjadi pusat tarikan utama. Selain daripada fungsinya sebagai kuil Buddha, Angkor Wat ini  menjadi lambang kemegahan Kerajaan Khmer. Berkeluasan 400km persegi, Angkor Wat ini terletak bersebelahan dengan Tasik Tonle Sap yang menjadi nadi utama perkembangan Bandar Phnom Penh.


3. SIEM REAP 



Siem Reap terletak kira-kira 350km dari Phnom Penh. Majoriti penduduknya bukan Islam. Siem Reap bermaksud "Siam Kalah" yang sebenarnya berfungsi sebagai satu kebanggaan pada penduduk Kemboja kerana dapat mengusir pengaruh Kerajaan Siam (Thailand) pada ketika itu. Siem Reap sangat terkenal di kalangan pelancong Eropah kerana terdapatnya Angkor Wat dan Tasik Tonle Sap. Malahan bandar Siem Reap ini dianggap sebagai "World's Premier Travel Destination" kerana suasana malamnya yang hidup dan sangat menarik. Tumpuan pelancong di Siem Reap adalah Old Market atau Psah Chas yang mempunyai banyak restaurant dan kedai-kedai untuk membeli belah.

4. TONLE SAP 





Jika ke Kemboja, mana mungkin kita lepaskan peluang melihat tasik terbesar di Asia Tenggara ini iaitu Tasik Tonle Sap. Menjadi nadi kehidupan masyarakat Kemboja, tasik ini membekalkan kira-kira 90% sumber kehidupan kepada mereka. Apa yang menarik di Tonle Sap ini adalah Floating Village mereka atau Kampung Terapung yang diberi nama "Chong Khneas". Pelancong akan dibawa ke sekitar tasik Tonle Sap yang luas itu dan menghayati keindahan alam serta keunikan kampung terapung.


5. MUZIUM TUOL SLENG GENOCIDE





Rata-rata mereka yang berkunjung ke muzium ni pasti terkesan. Muzium ni dahulunya adalah sebuah penjara yang penuh dengan kekejaman. Sebelum ia menjadi sebuah penjara, tapak ini dahulunya adalah sebuah sekolah dan akhirnya menjadi sebuah penjara yang diberi nama sebagai "Security Prison 21" atau S-21. Tuol Sleng bermaksud Bukit Pokok Beracun dan sekejam namanya, penjara ini menjadi "neraka" bagi kira-kira 20 000 tahanan yang disiksa hidup-hidup. Kekejama yang dilakukan pada tahanan memang sangat-sangat mengerikan. Untuk bacaan lanjut : http://en.wikipedia.org/wiki/Tuol_Sleng_Genocide_Museum


FESTIVAL DI KEMBOJA

Bagi mereka yang ingin melancong ke Kemboja, apa kata rancang pelancongan anda ketika Kemboja sedang menyambut festival atau hari keraian. Kata orang, sudah tentu lebih meriah dan lebih menarik trip pelancongan kita tu. Antara sambutan atau festival menarik di Kemboja adalah :

1. Chol Chnam Thmay 


Festival ini merupakan Perayaan Tahun Baru bagi masyarakat Khmer mengikut kalendar tradisional mereka. Diraikan pada tarikh 13-15 April setiap tahun, perayaan ini sememangnya diraikan secara besar-besaran. Apa yang menarik, setiap hari untuk perayaan tersebut ada namanya yang berbeza. Bagi hari pertama ia disebut sebagai "Moha Songkran", hari kedua : "Wanabat" manakala hari ketiga ialah "Tngai Laeung Saka". Pada perayaan ini, kebiasaannya masyarakat Kemboja akan berkunjung dan melawat ahli keluarga, bersembahyang di kuil, dan berseronok dengan kawan-kawan serta ahli keluarga.


2. PCHUM BEN



Bulan Oktober pula adalah bagi  menyambut satu lagi perayaan besar bagi masyarakat Kemboja iaitu Pchum Ben. Perkataan "Ben" dalam Bahasa Khmer ialah mengumpul atau secawan atau semangkuk manakala "Pchum" bermaksud berkumpul atau bersama-sama. Dalam perayaan ini, masyarakat Kemboja akan mengumpulkan makanan untuk diberikan kepada para sami mereka. Selain daripada sebagai satu penghormatan kepada golongan sami, ini juga sebagai memperingati nenek moyang mereka. Kepercayaan mereka menyatakan bahawa pada perayaan ni, roh ahli keluarga yang mati akan menerima pemberian daripada ahli keluarga yang hidup seterusnya meringankan seksaan mereka di neraka. Kebiasaannya Pchum Ben diraikan selama 15 hari.


3. BON OM TOUK (Cambodia Water Festival)



Rasanya, berbanding dua tadi ini paling menarik kerana ia melibatkan sukan air. Sebagaimana yang diketahui Tasik Tonle Sap dan Sungai Mekong menjadi nadi kehidupan Kemboja. Festival ini diraikan sekitar bulan November dan berlangsung selama 3 hari. Antara aktiviti sukan air yang disediakan adalah Perlumbaan Bot, Pertunjukkan Bunga Api dan Pertunjukan Bot Berhias pada sebelah malamnya.


 PENDUDUK ISLAM DI KEMBOJA



Namun disebalik kehebatan arena pelancongan Kemboja, sesuatu yang perlu kita prihatin adalah nasib kaum Muslim di Kampung Cham, Kemboja. Nasib dan hak kaum Muslim di Kampung Cham banyak dipersoalkan kerana penduduk di Kampung Cham ini berbeza adat, agama dan budaya dari masyarakat Buddha Kemboja. Malahan, boleh dikatakan penduduk Muslim disana ditindas dan diabaikan.

Kemiskinan menjadi isu terbesar bagi penduduk Islam Kemboja. Mereka ditindas dan diabaikan hak nya kerana dikatakan dalam sejarah, Kampung Cham merupakan kampung pertama yang berjihad menentang Khmer Rouge yang kejam itu. Penduduk Kampung Cham bangun berjihad membela Islam kerana adanya 5 peraturan yang disuruh oleh Khmer Rouge ketika itu :

1. Mengumpulkan Al-Quran untuk dibakar
2. Wanita disuruh memotong rambut sehingga pendek
3. Wanita disuruh berkahwin dengan lelaki Khmer yang bukan beragama Islam
4. Dilarang berpuasa
5. Disuruh memelihara dan memakan babi

Akibat daripada peraturan yang menghina Islam ini, seorang kanak-kanak berusia 6 tahun bangun dan menampar muka Khmer Rouge. Bermula dari situlah, jihad penduduk Kampung Cham dalam mempertahankan iman mereka pada Allah. Sejak itu, penduduk Islam di Kemboja terus terabai.



Namun, Syukur Alhamdulillah. Penduduk Islam di Malaysia banyak membantu penduduk Islam Kampung Cham. Banyak aktiviti korban & sedekah yang disalurkan kepada mereka bagi membela dan membantu mereka daripada kebuluran dan kesusahan.


MELANCONG & BERAMAL 



Sehubungan itu, Cambodia Muslim Holidays & Travel di bawah kelolaan Ustaz Yahya Al-Hafiz atau lebih dikenali sebagai Ustaz Yahya Cambodia memberi peluang dan bersedia membantu kita sekiranya ingin melancong ke sana. Dengan tagline "LEBIH MUDAH, LEBIH MURAH & LEBIH ISLAMIK" bukan sekadar bakal dibawa ke tempat-tempat menarik di Kemboja sahaja, malahan kita sendiri dapat membantu menghulurkan bantuan kepada mereka. Agensi ini telah lama bertapak dan memang terkenal di Kemboja sebagai agensi pelancongan Islamik.

Antara kepuasan pelanggan yang menggunakan khidmat agensi Ustaz Yahya


Cambodia Muslim Holidays & Travel ini menjanjikan pakej pelancongan yang mesra dengan bahasa komunikasi , Bahasa Melayu. Bukan itu sahaja, agensi ini turut menjaga syariat kita sebagai pelancong dengan mengetengahkan pakej pelancongan ala Islamik iaitu termasuklah makanan, tempat solat dan sebagainya. Maklumlah, dengan batas bahasa agak sukar jugak untuk kita betul-betul tahu selok belok halal dan haram di Kemboja ni. Jadi, jangan risau. Dengan Cambodia Muslim Holidays & Travel ni semuanya beres!

kredit blog www.ustazcambodia.com
Malahan, dengan Cambodia Muslim Holidays & Travel ni jugak memberikan platform kepada kita untuk beramal. Ada pakej pelancongan siap dengan melakukan ibadah korban mahupun aqiqah di sana. Dengan cara ni, sedikit sebanyak kita dapat gembirakan saudara seagama kita di Kampung Cham. Harga juga berbaloi dan memamg mampu! Apa salah kan, bersedekah dan berinfak di jalan Allah... semoga rezeki kita semakin bertambah. Seronok melancong dapat, pahala beramal dan bersedekah jugak kita dapat. Insya Allah!


Untuk maklumat lanjut mengenai pelancongan mahupun aktiviti korban & aqiqah amal di Kemboja, boleh dapatkan maklumat dan info di link-link berikut :

Person-in-charge : 
Ustaz Yahya Cambodia 

Facebook Ustaz Yahya :


Facebook Cambodia Muslim Holidays & Travel :


Website : 


Contest Kembara Kemboja dianjurkan oleh Blog.Azri Johan dan ditaja oleh Syarikat Cambodia Muslim Holiday & Travel. Hadiah lumayan bernilai RM 2000 bakal menjadi milik para pemenang. Anda dijemput untuk menyertai contest mudah ini.


Habuan Lumayan RM 2000 Menanti Para Pemenang!

  • Hadiah Tempat Pertama - Wang Tunai Bernilai RM700
  • Hadiah Tempat Kedua - Wang Tunai Bernilai RM500
  • Hadiah Tempat Ketiga - Wang Tunai Bernilai RM300
  • Hadiah Saguhati 1- Wang Tunai Bernilai RM100
  • Hadiah Saguhati 2- Wang Tunai Bernilai RM100
  • Hadiah Saguhati 3- Wang Tunai Bernilai RM100
  • Hadiah Saguhati 4- Wang Tunai Bernilai RM100
  • Hadiah Saguhati 5- Wang Tunai Bernilai RM100


Semoga ada rezeki kita semua  untuk jejak kaki & bantu saudara disana.


 

Blog Coklateyes by Innanie Ariffin Copyright © 2013 Designed by Alieff Artwork