Monday, November 7, 2016

Wanita Ini Kongsi Pengalaman Bagaimana Cukai GST Tinggi Di Sweden Beri Manfaat Pada Keluarganya

Assalamualaikum semua

Minggu lepas, seluruh rakyat Malaysia panik dengan krisis minyak masak yang melanda. Belum pun reda, dikejutkan pula dengan kenaikan harga petrol yang menyebabkan jiwa raga dan poket seisi keluarga bagai direntap-rentap. Eh... tak habis lagi, disusuli dengan kes kenaikan harga LPG. Maka disitu, Nanie juga terfikir... bagaimana kita semua ni nak hidup? Di Malaysia, Nanie dapat katakan yang cukai dikenakan tinggi bukan sebab untuk menaiktaraf pekhidmatan kepada rakyat. Tapi ia lebih kepada "menanggung beban hutang" atau lebih tepat "membiaya" hutang negara atas pelbagai perkara yang tak munasabah. Malaysia di lihat terburu-buru dalam mengaplikasikan cukai tanpa sebarang kajian mendalam dari pelbagai aspek. 


Dua hari lepas, felo kolej Nanie dulu semasa di Kolej Ungku Aziz, UM berkongsi pengalamannya yang telah menetap lebih setahun di Sweden mengenai perihal cukai yang dilaksanakan disana. Perkongsiannya sangat bermanfaat dan membuka minda Nanie terutama dalam aspek penjagaan anak-anak dan ekonomi keluarga. So, Nanie share di sini ye. Mudah-mudahan mendapat manfaat bersama.




Pendapatan boleh cukai bagi seseorang individu di Sweden ialah lebih kurang 31%. Manakala GST (dipanggil mervärdesskatt @ moms) bagi produk makanan dan perkhidmatan ialah 12% dan 25% bagi produk bukan makanan dan perkhidmatan. Walaupun cukai sangat tinggi, pulangannya juga tinggi dalam bentuk pendidikan, kesihatan, pengangkutan, keselamatan dan lain-lain. 


Makanya setiap tahun, ramai asylum seekers/refugee yang memohon status permanent residence. Mereka boleh hidup selesa disini tanpa bekerja sekurang- kurangnya 5 tahun (lebih kurang) dengan elaun bulanan yang diberikan oleh kerajaan. Mereka juga layak mengunakan childcare service sama seperti rakyat Sweden dan immigrant yang datang atas sebab bekerja/belajar. Childcare service adalah percuma seawal usia bayi setahun satu hari. Esok hari selepas sambut hari lahir yang ke setahun, anak dah boleh dihantar ke sekolah.

Image result for baby products

SITUASI DI MALAYSIA YANG GENTING! 

Berada disini lebih setahun menyebabkan saya sering berfikir akan cabaran ibubapa di negara kita yang perlu membelanjakan beratus hingga beribu ringgit setiap bulan untuk childcare samada dirumah sendiri, rumah pengasuh atau taska. Sesetengah ibubapa, gaji banyak habis untuk bayar bahagian ni saja. Bagi ibu yang berkerjaya, selepas habis cuti bersalin anak dihantar kepada pengasuh seawal usia 2 hingga 3 bulan. Pelbagai persiapan dibuat antaranya baju, botol susu, pam susu, stok susu, diapers, bantal, mainan, makanan, buaian, walker dan macam2 lagi. Perkakas-perkakas tu pun bukan murah. Susu nak jenama Enfalac atau S26. Botol susu pulak nak jenama NUK, Tomme Tippee, MAM atau Avent. Pam pula nak jenama Medela. 


Cukup bulan, bayar kepada pengasuh di atas perkhidmatan yang diberikan. Kalau anak ramai, maka lebih banyak wang yang perlu dibelanjakan. Bagi ibubapa yang menggunakan perkhidmatan pembantu rumah warga asing, mereka tidak dapat lari daripada memikirkan isu-isu seperti pembantu rumah melarikan diri samada bersendirian, bersama barang berharga atau lebih buruk, bersama anak majikan. Betapa banyak perkara yang perlu difikirkan oleh ibubapa di negara kita dalam hal penjagaan anak-anak. Sungguhpun ketika sibuk di waktu pejabat, mereka masih memikirkan keselamatan dan keselesaan anak.


LAIN SITUASINYA DI SWEDEN

Tetapi, ibubapa disini tidak perlu memikirkan perkara-perkara diatas. Sesudah melahirkan anak atau mengambil anak angkat, ibu bapa mendapat 480 hari cuti parental bergaji. Daripada jumlah itu, bapa mendapat 90 hari cuti bergaji. Baki 390 hari adalah untuk ibu. Kelayakan cuti parental ini perlu dihabiskan sebelum anak berusia 8 tahun. Dengan kemudahan ini, ibu dapat menyusukan bayi sepenuhnya selama setahun sebulan. Susu formula pula ada satu jenis saja iaitu NAN keluaran Nestle. Banyak duit dapat dijimatkan. Selama setahun tak perlu belanjakan duit untuk susu, botol susu dan aksesori lain yg berkaitan susu. Kalau di Malaysia, kita ada bermacam jenama susu formula dan botol susu di pasaran. Murah ada, mahal pun ada.

Image result for daycare
Selepas habis cuti parental, mereka boleh hantar anak ke preschool. Anak pun dah besar dan dah boleh berjalan. Tak perlu fikir bab anak tersedak susu, terjatuh dan sebagainya. Preschool adalah percuma. Sekiranya ibu tidak bekerja, anak boleh dihantar ke preschool selama 20 jam seminggu. Sekiranya ibu belajar/bekerja, anak boleh berada di preschool selama 40 jam seminggu. 

Tiada bayaran dikenakan ke atas ibubapa. Bab makanan pun tak perlu fikir sebab sekolah sediakan makanan daripada preschool sampailah ke sekolah menengah. Lampin pakai buang (diapers) juga disediakan. Tak payah bawa diapers sendiri ke sekolah. Alat tulis juga disediakan oleh pihak sekolah. Uniform pun tak kena pakai. Pakai je mana-mana baju yang sesuai. Kanak-kanak preschool hanya pakai vest saja masa outdoor. Tapi disebabkan negara ini ada empat musim, baju yang dipakai pun kena sesuai mengikut cuaca. Musim luruh kena pakai jaket yang lebih nipis atau pakaian hujan supaya baju tak kotor. 


Budak sini kalau main kat luar memang main tanah...pasir...macam budak kampung. Bukan setakat korek tanah saja, siap berguling atas tanah lagi. Budak sekolah kebangsaan pulak cerdik sikit. Main pasir kat taman permainan macam main pasir kat pantai. Sorang baring. Yang lain tolong kambus sampai tinggal kepala. Mereka banyak main disekolah. Tak payah fikir bab exam, ulangkaji pelajaran, heret beg berat ke sekolah, malam tengok jadual waktu sebab nak pilih buku apa nak bawa pi sekolah esok hari. Mereka juga tidak perlu bawa duit ke sekolah. Bawa diri sahaja.

HARAPAN BUAT TANAH AIR TERCINTA

Saya mengimpikan jika suatu hari nanti negara kita dapat menyediakan kemudahan cuti parental dan childcare sebegini. Jika tak mampu beri sampai 480 hari bagi satu kelahiran, mungkin separuh daripada itu. Kerana pada ketika itu, bayi sudah mencapai usia 7 bulan dan risiko sudden infant death (SID) semakin berkurangan. Banyak urusan ibubapa juga dapat dipermudahkan dan banyak sumber yang dapat dijimatkan. Dan akhir sekali, tiada jurang status dalam pendidikan awal anak-anak kita.


Dipetik dari FB Puan Fakhriatul Azhan 



PENDAPAT NANIE 

Jadi, anda sebagai ibu bapa bagaimana? Bezakan negara kita dengan negara luar. Nanie yang hidup single belum berkeluarga ni pun dah terasa tempias bebas cukai semua. Inikan lagi orang berkeluarga. Negara kita sibuk dengan PERMATA nya yang tak habis-habis mendapat dana bajet yang tinggi, namun bukan untuk semua anak-anak. Hanya yang terpilih sahaja. 

Nanie yakin, kita semua 'kurang mengamuk' jika cukai tinggi tapi pulangannya berbaloi pada kita dan seluruh rakyat Malaysia. Infrastruktur bagus, kualiti servis dipertingkat dan manfaat pada seluruh keluarga di Malaysia tanpa prejudis pada tangga gaji. 


Wajarkah kita bezakan anak-anak ini? Ibu bapa dibebani pelbagai cukai dan hutang akibat kerajaan yang tamak hinggakan nasib dan masa depan anak sendiri sebenarnya tidak terbela. Contohilah negara maju dari pelbagai aspek. Kaji dan buatlah survey pada rakyat serta dengarlah luahan kita ni. Jangan tak habis-habis fikir poket sendiri. Contohi negara maju bukan sekadar bezakan cukai negara mana lebih tinggi. Tapi bezakan pulangannya. Apa faedahnya pada keluarga, pada individu, pada masa depan anak-anak bangsa dan pada manfaat negara. Ini tidak.... tak habis-habis alasan cukai Malaysia masih rendah... padahal ia lebih kepada manfaat pada "satuuuuu" pihak bukan pada "satuuuuuuuu Malaysia". 


Sama-sama kita fikirkan. Ingat, setiap apa yang kita lakukan disini, akan ditanya disana! 




4 comments:

  1. Pengurusan kita yang bermasalah. Apa jua pelan, walaupun nampak baik dan bagus di atas kertas .. tetapi ia tak begitu bila dilaksana.

    ReplyDelete
    Replies
    1. Setuju dgn HH. Memang betul, on paper semua nampak cantik tapi compang camping dalam proses tu yang menjadikan rakyat terima akibat!

      Delete
  2. (Childcare service adalah percuma seawal usia bayi setahun satu hari. Esok hari selepas sambut hari lahir yang ke setahun, anak dah boleh dihantar ke sekolah.)

    SubhanAllah...rasa mcm sekarang juga nak tinggal disana...byk yer kebajikan terbela...akak rasa nak nangis...wpun anak sorang, tahun depan nak masuk tadika pun dah beribu dik nani...tu baru anak sorang...kalau ada rezeki nak tambah lagi...serius akak sedih lepas baca cerita benar ni...Allah...kena nak tak nak tabungan kena lebih tinggi dari berbelanja...kena keje kuat sambil tu buat part time job...mujur ephyra byk membantu akak dari sudut tabungan dik nanie...alhamdulilah.

    ReplyDelete
  3. The best post!! The way you explanations, hat off!!, your time consuming research in post is much appreciated. You are an inspiration. Keep it up!

    ReplyDelete

Teruskan Memberi Inspirasi.
Saya Hargai Pandangan & Idea Anda!

 

Blog Coklateyes by Innanie Ariffin Copyright © 2013 Designed by Alieff Artwork